- Kepada yang dah terbiasa membaca ayat-ayat suci Al- Quran, kita akan dapati betapa indah dan syahdunya ayat-ayat yang terkandung di dalamnya, sebagai peringatan untuk yang engkar agar kembali bertaubat dan berita gembira bagi yang taat.
- Bagaimanapun, tidak semua manusia tahu membacanya terutama bagi penganut agama lain walaupun sebenarnya Al-Quran itu adalah kitab yang sangat mudah difahami, tambahan pula ia diterjemahkan dalam semua bahasa yang ada di dalam bumi ini.. Justeru, tidak ada sebab untuk anda tidak membacanya.
- Saya persembahkan blog ini sebagai jalan membuka minda untuk mendorong saudara2 minat membaca Al-Quran dan untuk mereka yang sedang mencari jalan tuhan, jalan tauhid yang sebenarnya..
- Sesungguhnya, susunan yang ada dalam al-quran itulah yang terindah dan lengkap.Saya hanya kelompokkan ikut kategori untuk membantu saudara kita yang masih tercari-cari jalan tuhan dengan mengemukakan bukti-bukti dari Al-Quran tentang perkara yang menjadi keraguan kepada Non-Muslim. Saya hanya mengambil petikan terjemahan berkenaan tajuk -tajuk tertentu memandangkan ramai yang belum tahu membaca al-quran dan tidak tahu betapa benar dan indahnya Al-Quran dan Islam. Juga untuk mendorong mereka mencintai keindahan bahasa quran dan isi kandungannya, mudah-mudahan mereka tertarik untuk mendalaminya lebih dekat, seterusnya belajar pula membacanya kerana betapa merdunya dan indahnya bacaan ayat-ayat Allah ini, yang pasti dapat mententeramkan hati...Hanya ini yang terdaya saya lakukan.
- Sebenarnya, kandungan Al-Quran menceritakan apa yang telah, sedang dan akan berlaku. Bagaimana pula perkara yang belum berlaku ada diceritakan dalam Al-Quran? Itu semua tidak mustahil kerana Allah yang maha mengetahui dan maha berkuasa atas segala sesuatu. Akal fikiran kita saja yang tidak mampu menilai perkara yang belum berlaku kerana Allah sengaja menciptakan makhlukNya dalam keadaan begini sebagai salah satu bukti kekuasaanNya dan bahawa kita semua sebenarnya adalah hambaNya.Tiada kitab sebandingnya yang dapat menceritakan dengan jelas nyata akan perkara yang belum berlaku.
- Apa yang saya paparkan ini adalah petikan ayat-ayat tertentu berkaitan tajuk yang difokuskan. Petikan atau keterangan yang lengkap,baca dan galilah khazanah al-quran, sungguh indah dan benar untuk orang yang mahu berfikir bahawa hakikat hidup ini sementara sahaja. Anda boleh download keseluruhan kandungan Kitab Al-Quran antaranya seperti di web ini atau di laman web lain. Percuma. Ia mengandungi keseluruhan 114 surah yang ada dalam Al-Quran.
- Anda akan dapati bahawa ayat-ayat Al-Quran yang terkandung dalam surah berlainan sentiasa berkait rapat dan tidak ada yang bercanggah.Ini jauh berbeza dengan kitab-kitab lain, banyak yang bercanggah kerana telah diseleweng oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
- Sesungguhnya apa yang terkandung dalam Al-Quran sangat berkait rapat dengan kehidupan ini dan kebenarannya dari sudut kajian geografi, sains dan teknologi memang terbukti berdasarkan kajian terkini. Anda boleh baca banyak bukti berkenaan di pelbagai laman web. "Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan)"- (Al-An’am:38)
- Turunnya Al-Quran adalah sebagai pemberi hidayah, rahmat dan penjelasan bagi seluruh manusia. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan bathil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.
- Saya mohon keampunan daripada Allah jika ada kesilapan semasa menyunting petikan ayat-ayat suci ini kerana Dialah yang lebih mengetahui segala niat dan isi hati yang tersembunyi di dalam dada setiap hambaNya.
- Terima kasih juga kepada anak-anak didikku (Non-Muslim) yang banyak bertanya tentang agama yang indah ini. Ada masanya mereka bertanya tentang banyak perkara yang meragukan berkenaan agama yang mereka sedang anuti. Sebagai jawapan tambahan dan yang lebih baik, diharapkan blog ini akan membantu mereka mencari sesuatu yang terindah..Terima kasih kepada kalian yang menyebabkan saya teruja untuk menghasilkan blog ini.
Sunday, May 30, 2010
Pengenalan
Salam untuk semua,
Subscribe to:
Posts (Atom)