Kisah Nabi Adam dan Iblis.Iblis takbur akan penciptaan dirinya oleh Allah dan enggan tunduk kpd Adam.Justeru, dia telah dihalau dr syurga dan dilaknat hingga ke hari kiamat.Syaitan juga telah memperdayakan nabi Adam dan isterinya Hawa hingga mereka diusir dr syurga.seterusnya berusaha menyesatkan seluruh umat manusia supaya bersama2nya kufur kpd Allah.
Surah | Nombor rujukan ayat dan terjemahannya |
Al-Baqarah | (30) Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?. Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya. (31) Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Dia berfirman: Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar. (32) Malaikat itu menjawab: Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (33) Allah berfirman: Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka. Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?. (34) Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; dia enggan dan takbur dan menjadilah dia dari golongan yang kafir. (35) Dan kami berfirman: Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam Syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim. (36) Setelah itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari Syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya dan Kami berfirman: Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati). (37) Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah, Dialah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani. (38) Kami berfirman lagi: Turunlah kamu semuanya dari Syurga itu! Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu (melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. |
Sad | (71) (Ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia, Adam dari tanah; (72) Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaanKu) maka hendaklah kamu sujud kepadanya. (73) (Setelah selesai kejadian Adam) maka sujudlah sekalian malaikat, semuanya sekali, (74) Melainkan Iblis; dia berlaku sombong takbur (mengingkarinya) serta menjadilah dia dari golongan yang kafir. (75) Allah berfirman: Hai lblis! Apa yang menghalangmu daripada turut sujud kepada (Adam) yang Aku telah ciptakan dengan kekuasaanKu? Adakah engkau berlaku sombong takbur ataupun engkau dari golongan yang tertinggi? (76) Iblis menjawab: Aku lebih baik daripadanya; Engkau (wahai Tuhanku) ciptakan daku dari api, sedang dia Engkau ciptakan dari tanah. (77) Allah berfirman: Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, kerana sesungguhnya engkau adalah makhluk yang diusir. (78) Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknatku terus menerus hingga ke hari kiamat! (79) Iblis berkata: Wahai Tuhanku! Jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangkitkan (hari kiamat). (80) Allah berfirman: Dengan permohonanmu itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh; (81) Hingga ke hari masa yang termaklum. (82) Iblis berkata: Demi kekuasaanmu (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya, (83) Kecuali hamba-hambaMu di antara zuriat-zuriat Adam itu yang dibersihkan dari sebarang kederhakaan dan penyelewengan. (84) Allah berfirman: Maka Akulah Tuhan Yang Sebenar-benarnya dan hanya perkara yang benar Aku firmankan (85) Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi Neraka Jahannam dengan jenismu dan dengan orang-orang yang menurutmu di antara zuriat-zuriat Adam (yang derhaka) semuanya. |
Al-Hijr | (28) Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya. (29) Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaanku) maka hendaklah kamu sujud kepadanya. (30) (Setelah selesai kejadian Adam) maka sujudlah sekalian malaikat, semuanya sekali, (31) Melainkan Iblis; dia enggan turut bersama mereka yang sujud. (32) Allah berfirman: Hai Iblis! Apa sebabnya engkau tidak turut bersama mereka yang sujud itu?. (33) Iblis menjawab: Aku tidak patut sujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya. (34) Allah berfirman: Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, kerana sesungguhnya engkau dari sekarang ke masa depan adalah (satu makhluk yang) diusir. (35) Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknat terus-menerus hingga ke hari kiamat. (36) Iblis berkata: Wahai Tuhanku! Jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangitkan (hari kiamat). (37) Allah berfirman: Dengan permohonanmu itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh. (38) Hingga ke hari (masa) yang termaklum. (39) Iblis berkata: Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya, (40) Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik. (41) Allah berfirman: Inilah satu jalan yang lurus, yang tetap Aku memeliharanya. (42) Sesungguhnya hamba-hambaKu, tidaklah ada bagimu sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa yang menurutmu dari orang-orang yang sesat (dengan pilihannya sendiri). (43) Dan sesungguhnya Neraka Jahannam itu, tempat yang dijanjikan bagi sekalian mereka (yang menurutmu). (44) Ia mempunyai tujuh pintu; bagi tiap-tiap sebuah pintu ada bahagian yang tertentu dari mereka (yang sesat dan menyesatkan itu). (45) Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan mata air-mata air terpancar padanya. (46) (Mereka dipersilakan oleh malaikat dengan berkata): Masuklah kamu ke dalamnya dengan selamat sejahtera serta beroleh aman. (47) Dan Kami cabut akan apa yang ada di hati mereka dari perasaan hasad dengki sehingga menjadilah mereka bersaudara (dalam suasana kasih mesra), serta mereka duduk berhadap-hadapan di atas pelamin masing-masing. (48) Mereka tidak akan disentuh susah payah dalam Syurga itu dan mereka pula tidak sekali-kali akan dikeluarkan daripadanya. (49) Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu (wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh). (50) Dan bahawa azabKu, ialah azab yang tidak terperi sakitnya, (bagi mereka yang tetap dalam kederhakaannya). |
Taha | (115) Dan demi sesungguhnya, Kami telah berpesan kepada Adam pada masa yang lalu, tetapi dia lupa dan kami tidak mendapatinya mempunyai keazaman yang teguh. (116) Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam, lalu mereka sujud, melainkan Iblis, dia enggan sujud. (117) Maka, Kami berfirman: Wahai Adam sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu; oleh itu, janganlah dia menyebabkan kamu berdua keluar dari Syurga, kerana dengan yang demikian engkau (dan isterimu) akan menderita. (118) Sesungguhnya telah dikurniakan berbagai nikmat bagimu, bahawa engkau tidak akan lapar dalam Syurga itu dan tidak akan bertelanjang. (119) Dan sesungguhnya engkau juga tidak akan dahaga dalam Syurga itu dan tidak akan merasa panas matahari. (120) Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata: Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap? (121) Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari Syurga dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalahjalan (dari mencapai hajatnya). (122) Kemudian Tuhannya memilihnya (dengan diberi taufiq untuk bertaubat), lalu Allah menerima taubatnya serta diberi petunjuk. (123) Allah berfirman: Turunlah kamu berdua dari Syurga itu, bersama-sama, dalam keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang lain; kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu, maka sesiapa yang mengikut petunjukKu itu nescaya dia tidak akan sesat dan dia pula tidak akan menderita azab sengsara. (124) Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta. |
Syaitan memperdayakan manusia dengan angan2 kosong dan memperelokkan perbuatan buruk pada pandangan org yg berbuat jahat.Iblis sebenarnya bukan kawan kita, sebaliknya ia musuh yg nyata. Ia menggoda anak cucu nabi Adam supaya derhaka kepada Allah dan bersama2nya dihumbankan ke neraka.
Surah | Nombor rujukan ayat dan terjemahannya |
An-Nisa | (117) Apa yang mereka sembah yang lain dari Allah itu, hanyalah berhala-berhala (makhluk-makhluk yang lemah) dan mereka (dengan yang demikian) tidak menyembah melainkan Syaitan yang derhaka; (118) Yang telah dilaknat oleh Allah dan yang telah mengatakan: Demi sesungguhnya, aku akan mengambil dari kalangan hamba-hambaMu, bahagian yang tertentu (untuk menjadi pengikutku); (119) Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran) dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah dia dengan kerugian yang terang nyata. (120) Syaitan sentiasa menjanjikan mereka (dengan janji-janji indah) serta memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan apa yang dijanjikan oleh Syaitan itu tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata. |
An-Nahl | (63) Demi Allah! Sesungguhnya kami juga telah mengutus Rasul-rasul kepada umat-umat yang terdahulu daripadamu (wahai Muhammad), lalu Syaitan memperelokkan pada pandangan mereka yang ingkar akan amal-amal mereka yang jahat itu; maka dialah menjadi pemimpin mereka pada hari ini dan mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya. |
Al-Isra | (53) Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hambaKu (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (yang mukmin dan yang menentang); sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia. |
Fatir | (6) Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk Neraka. |
Muhammad | (25) Sesungguhnya orang-orang yang telah berbalik kepada keingkaran mereka sesudah terang nyata kepada mereka kebenaran petunjuk (yang dikemukakan kepadanya), Syaitanlah yang memperdayakan mereka (berlaku demikian), serta memanjangkan angan-angan mereka. |
Al-Baqarah | (208) Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. |
Syaitan sentiasa berusaha menghalangi manusia drp jalan yg benar.Oleh itu, sentiasalah berlindung dengan Allah drp godaannya.Antaranya dgn memperbanyakkan bacaan al-Q dan mengamalkannya.sb jika hati kita lalai, syaitanlah yg akan memenuhinya(menghasut).
Surah | Nombor rujukan ayat dan terjemahannya |
Az-Zukhruf | (36) Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya. (37) Dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk. (38) Sehingga apabila dia (yang terjerumus dalam kesesatan itu) datang kepada Kami (pada hari kiamat), berkatalah dia (kepada Syaitannya): Alangkah baiknya (kalau di dunia dahulu ada sekatan yang memisahkan) antaraku denganmu sejauh timur dengan barat! Kerana (engkau) adalah sejahat-jahat teman. (39) (Lalu dikatakan kepada mereka): Pada hari ini, setelah nyata bahawa kamu telah menganiaya diri sendiri, (maka apa yang kamu cita-citakan itu) tidak sekali-kali akan memberi faedah kepada kamu, kerana sesungguhnya kamu dan teman-teman kamu itu tetap menderita bersama-sama di dalam azab. |
Syaitan yang kena rejam.sebab itu kita sentiasa berdoa agar dilindungi daripada syaitan sebab syaitan adalah makhluk yang direjam.
Surah | Nombor rujukan ayat dan terjemahannya |
Al-Hijr | (16) Dan demi sesungguhnya! Kami telah menjadikan di langit: Bintang-bintang (yang berbagai bentuk dan keadaan) serta Kami hiasi langit itu bagi orang-orang yang melihatnya. (17) Dan Kami pelihara (urusan) langit itu dari (masuk campur) tiap-tiap Syaitan yang kena rejam. (18) Kecuali Syaitan yang curi mendengar percakapan (malaikat di langit), maka ia diburu dan diikuti (dengan rejaman) api yang menyala, yang nyata kelihatan. |
Al-Mulk | (5) Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang dan Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap Syaitan-syaitan dan Kami sediakan bagi mereka azab Neraka yang menjulang-julang. |
Syaitan juga takut kpd Allah.sebab itulah pd hr kiamat nanti,Syaitan/berhala berlepas diri/tak bertanggungjawab daripada segala kesesatan manusia .
Surah | Nombor rujukan ayat dan terjemahannya |
Ibrahim | (22) Dan berkatalah pula Syaitan setelah selesai perkara itu: Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu; maka janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya dari dahulu lagi aku telah kufur ingkarkan (perintah Tuhan) yang kamu sekutukan daku denganNya. Sesungguhnya orang-orang yang zalim (yang meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya) beroleh azab yang tidak terperi sakitnya. |
Al-Hasr | (16) (Sikap kaum munafik dengan kaum Yahudi) itu samalah seperti (sikap) Syaitan ketika dia berkata kepada manusia: Berlaku kufurlah engkau! Setelah orang itu berlaku kufur (dan tetap terkena azab), berkatalah Syaitan kepadanya: Sesungguhnya aku adalah berlepas diri daripadamu, kerana sebenarnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang Menguasai seluruh alam! (17) Maka kesudahan keduanya, bahawa mereka ditempatkan di dalam Neraka, kekal mereka di dalamnya dan yang demikian itulah balasan makhluk-makhluk yang zalim. |
Qaf | (27) (Semasa dia dihumbankan ke dalam Neraka Jahannam, dia mendakwa bahawa Syaitanlah yang menjadikan dia sesat; pada saat itu) Syaitan yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) berkata: Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong. (28) Allah berfirman: Janganlah kamu berbalah lagi di hadapanKu, (tidak ada gunanya berbalah pada masa Aku membuat keputusan); padahal (kamu sedia mengetahui bahawa) Aku dahulu telah memberi amaran kepada kamu (akan menyeksa orang-orang yang bersalah). (29) KeputusanKu itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti dan Aku tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hambaKu. (30) (Peringatkanlah manusia) akan hari Kami bertanya kepada Neraka Jahannam: Adakah engkau sudah penuh? Dia menjawab: Adakah lagi sebarang tambahan? |