Tuesday, October 20, 2009

NERAKA

Ada di kalangan manusia yang tidak begitu mengambil kisah urusan agama sehingga leka dan terus membiarkan diri hanyut mengikut sahaja ajaran nenek moyang mereka tanpa usul periksa lantaran malas dan ingin bersenang-senang saja. Mereka tidak mahu berfikir untuk mencari jalan kebenaran kerana beranggapan kalaulah agama yang mereka sedang ikut sekarang ini tidak benar, tak apalah sebab mereka hanya masuk neraka sekejap saja. Sedangkan neraka itu kekal dan sehari di akhirat menyamai seribu tahun di dunia. Bagaimana mungkin mereka mampu menghadapi siksaan yang tidak terperi azabnya itu..ingatlah..susah di dunia sekejap saja, tapi susah di akhirat selama-lamanya.Sebenarnya tak ada yang susahpun dalam Islam. Ia hanya susah bagi orang yang sempit pemikirannya untuk menilai keindahan di sebalik setiap ibadah yang Allah perintahkan.. Contoh yang jelas, orang bukan Islam yang dewasa menganggap puasa sangat susah kerana terpaksa berlapar dan sebagainya.Padahal, kanak-kanak Islam berpuasa dengan seronoknya dan dapat berpuasa dengan baik selama sebulan kerana mereka tahu Allah akan memberi pahala untuk mereka nanti.
Setiap ayat Al-Quran berkenaan neraka ini saling berkaitan antara setiap surah.Allah sentiasa mengulang-ulang penerangannya untuk memberi peringatan kepada hambaNya agar berfikir dan mengakui keesaanNya. Mudah-mudahan terselamat daripada azab seksa neraka yang tidak mampu ditanggung oleh kita.

1.Bukti bahawa Neraka tempat yang kekal bagi mereka yang kufur (enggan mengakui keesaan Allah) dan derhaka kepada Allah dan rasul. Bacalah terjemahan ayat -ayat berikut:

Surah
Nombor rujukan ayat dan terjemahannya
Al-Maeda (37) Mereka sentiasa berharap hendak keluar dari api Neraka itu, padahal mereka tidak sekali-kali akan dapat keluar daripadanya dan bagi mereka azab seksa yang tetap kekal.
Ibrahim (29) (Iaitu) Neraka Jahannam yang mereka akan menderita bakarannya dan (ingatlah), seburuk-buruk tempat tetap ialah Neraka Jahannam.
Az-Zukhruf (74) Sesungguhnya orang-orang yang berdosa (dengan kekufurannya), kekal selama-lamanya di dalam azab seksa Neraka Jahannam.
(75) Tidak diringankan azab itu daripada mereka dan mereka tinggal menderitainya dengan berputus asa (daripada mendapat sebarang pertolongan),
(76) Dan tidaklah kami menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.
(77) Dan mereka menyeru (ketua malaikat penjaga Neraka, dengan berkata): Wahai Malik! Biarlah hendaknya Tuhanmu mematikan kami (kerana kami tidak tahan menderita)! Malik menjawab: Sesungguhnya kamu tetap kekal di dalam azab!
An-Naba (21) Sesungguhnya Neraka Jahannam adalah disediakan;
(22) Untuk orang-orang yang melampaui batas hukum Tuhan, sebagai tempat kembalinya.
(23) Mereka tinggal di dalamnya berkurun-kurun lamanya.


2.Janganlah berbangga dengan kekayaan,keturunan,kaum kerabat atau kawan-kawan yang hebat/ternama kerana ia bukanlah tiket untuk terselamat dari siksaan neraka andainya kita kufur kepada Allah.
Surah
Nombor rujukan ayat dan terjemahannya
Al- Imran
(10) Sebenarnya harta benda orang-orang kafir dan juga anak-pinak mereka tidak sekali-kali akan menyelamatkan mereka dari (azab seksa) Allah sedikit juapun; dan mereka itulah bahan bakaran api Neraka.
(91) Sesungguhnya orang-orang yang kafir, lalu mati sedang mereka tetap kafir, maka tidak sekali-kali akan diterima dari seseorang di antara mereka emas sepenuh bumi, walaupun dia menebus dirinya dengan (emas yang sebanyak) itu. Mereka itu akan mendapat azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan mereka pula tidak akan beroleh seorang penolong pun.
(116) Sesungguhnya orang-orang yang kafir, harta benda mereka dan anak-anak mereka, tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan mereka dari (azab) Allah sedikitpun, dan mereka itu ialah ahli Neraka; mereka kekal di dalamnya.
(131) Dan peliharalah diri kamu dari api Neraka, yang disediakan bagi orang-orang kafir.

Saba
(42) Maka pada hari ini, masing-masing di antara kamu tidak berkuasa memberi sebarang manfaat kepada kawannya dan tidak pula dapat menolak sesuatu bahaya daripadanya; dan Kami katakan kepada orang-orang yang zalim (yang berlaku syirik) itu: Rasalah azab Neraka yang kamu dahulu mendustakannya.




3.Antara golongan yang menjadi ahli/diazab dalam neraka

Surah Nombor rujukan ayat dan terjemahannya
Al-Baqarah
(39) Dan orang-orang kafir yang mendustakan ayat-ayat keterangan kami, mereka itu ialah ahli Neraka, mereka kekal di dalamnya.
(80) Dan mereka berkata: Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api Neraka kecuali beberapa hari yang tertentu. Katakanlah (wahai Muhammad): Adakah kamu sudah mendapat janji dari Allah supaya (dengan itu) Allah tidak akan menyalahi janjiNya, atau hanya kamu mengatakan atas nama Allah sesuatu yang tidak kamu mengetahuinya?.
(81) (Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar), sesungguhnya sesiapa yang berbuat kejahatan dan dia diliputi (ditenggelamkan) oleh kesalahannya itu, maka merekalah ahli Neraka, mereka kekal di dalamnya.

An-Nisa (10) Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka dan mereka pula akan masuk ke dalam api Neraka yang menyala-nyala.
(14) Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya dan melampaui batas-batas SyariatNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api Neraka, kekallah dia di dalamnya dan baginya azab seksa yang amat menghina.
(93)Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Neraka Jahannam, kekal dia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.
(115) Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran petunjuk (yang dibawanya) dan dia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam Neraka Jahannam dan Neraka Jahannam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.
(121) Mereka itu, tempat akhirnya ialah Neraka Jahannam dan mereka pula tidak akan dapat melarikan diri daripadanya.

Al- Imran (12) Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir itu: Kamu akan dikalahkan (di dunia ini) dan akan dihimpunkan (pada hari kiamat) ke dalam Neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat yang disediakan.

Al-Araf (41) Disediakan untuk mereka hamparan-hamparan dari api Neraka dan di atas mereka lapisan-lapisan penutup (dari api Neraka) dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang zalim (disebabkan keingkarannya).
(179) Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahannam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.
At-Taubah (68) Allah menjanjikan orang-orang munafik lelaki dan perempuan serta orang-orang kafir dengan Neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya. Cukuplah Neraka itu menjadi balasan mereka dan Allah melaknatkan mereka dan bagi mereka azab seksa yang kekal.

Hud (106) Adapun orang-orang yang celaka (disebabkan keingkaran dan maksiatnya), maka di dalam Nerakalah tempatnya. Bagi mereka di situ, hanyalah suara memekik-mekik dan mendayu-dayu (seperti suara keldai).
(119) Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam agama Allah) dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia dan dengan yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu: Sesungguhnya Aku akan memenuhi Neraka Jahannam dengan sekalian jin dan manusia (yang berdosa).
Al-Anbiya (29) Dan (jika ada) sesiapa di antara mereka berkata: Sesungguhnya aku ialah tuhan selain dari Allah, maka yang berkata sedemikian itu, Kami akan membalasnya dengan (azab) Neraka Jahannam; demikianlah Kami membalas golongan yang zalim.
(98) Sesungguhnya kamu dan apa yang kamu sembah, yang lain dari Allah, menjadi bahan-bahan bakaran yang dilimparkan ke dalam Neraka Jahannam; kamu (sudah tetap) akan memasukinya.
(99) Kalaulah mereka (yang kamu sembah) itu tuhan-tuhan, tentulah mereka tidak masuk ke dalam Neraka dan (ketahuilah), semuanya (yang menyembah dan yang disembah) akan kekal dalam Neraka selama-lamanya.
(100) Mereka mendayu-dayu (kesakitan) di dalam Neraka dan mereka pula di situ tidak dapat mendengar sesuatu yang menyenangkan.

Al-Hajj (19) Maka orang-orang yang kafir akan disediakan untuk mereka pakaian dari api Neraka, serta dicurahkan atas kepala mereka air panas yang menggelegak,
(20) Yang dengannya dihancurkan apa yang ada dalam perut mereka dan juga kulit badan mereka.
(21) Dan mereka pula disediakan batang-batang besi untuk menyeksa mereka.
(22) Tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari Neraka itu, disebabkan mereka menderita azabnya, mereka dikembalikan padanya, serta dikatakan: Rasalah kamu azab seksa yang membakar!
As-Sajadah (20) Dan sebaliknya orang-orang yang fasik, maka tempat kediaman mereka ialah Neraka; tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari Neraka itu, mereka dikembalikan kepadanya, serta dikatakan kepada mereka: Rasalah azab Neraka yang kamu sentiasa mendustakannya di dunia dahulu.
Fatir (36) Dan orang-orang yang kafir, bagi mereka Neraka Jahannam; mereka tidak dijatuhkan hukuman bunuh supaya mereka mati (dan terlepas dari seksa) dan tidak pula diringankan azab Neraka itu dari mereka dan demikianlah Kami membalas tiap-tiap orang yang melampau kufurnya.

An-Nahl (29) Oleh itu, masukilah pintu-pintu Neraka, tinggal kekallah kamu di dalamnya; maka sesungguhnya (Neraka itu) seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong takbur.
Al-Fath
(13) Dan (ingatlah bahawa) sesiapa yang tidak beriman kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya Kami sediakan bagi orang-orang kafir itu api Neraka yang menjulang-julang.
Al-Waqiah (41) Dan puak kiri, alangkah seksanya keadaan puak kiri itu?
(42) Mereka diseksa dalam angin yang membakar dan air yang menggelegak
(43) Serta naungan dari asap hitam,
44) Yang tidak sejuk dan tidak pula memberi kesenangan.
(45) Sesungguhnya mereka sebelum itu dilalaikan oleh kemewahan (dunia, dari mengingati hukum Tuhan).
(46) Dan mereka pula sentiasa melakukan dosa yang besar,
(47) Dan juga mereka selalu berkata: Adakah sesudah kita mati serta menjadi tanah dan tulang, betulkah kita akan dibangkitkan hidup semula?
(48) Dan adakah juga datuk nenek kita yang telah lalu, (akan dibangkitkan hidup semula)?
At-Tahrim (6) Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu (berhala); Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.

Al-Mulk (6) Dan bagi orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhan mereka, disediakan azab Neraka Jahannam dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.
(7) Apabila mereka dicampakkan ke dalamnya, mereka mendengar suara jeritannya meraung-raung, sedang ia menggelegak.
(8) Hampir-hampir ia pecah berkecai-kecai kerana kuat marahnya. Tiap-tiap kali dicampakkan ke dalamnya sekumpulan besar (dari orang kafir), bertanyalah penjaga-penjaga Neraka itu kepada mereka: Tidakkah kamu pernah didatangi seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran (di dunia dahulu)?
(9) Mereka menjawab: Ada! Sebenarnya telah datang kepada kami seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran, lalu kami dustakan serta kami katakan (kepadanya): Allah tidak menurunkan sesuatupun, kamu (wahai orang yang mendakwa menjadi Rasul) hanyalah berada dalam kesesatan yang besar!
(10) Dan mereka berkata: Kalaulah kami dahulu mendengar dan memahami (sebagai orang yang mencari kebenaran), tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli Neraka.
(11) Akhirnya mereka mengakui dosa-dosa mereka (sebagai orang-orang yang kufur ingkar), maka tetaplah jauhnya rahmat Allah dari ahli Neraka.

Al-Muthaffifin (7) Tidak sepatutnya (mereka melakukan perbuatan yang salah itu dan melalaikan hari akhirat)! Sesungguhnya "kitab suratan amal" orang-orang yang berdosa itu (didaftarkan) dalam "Sijjiin".
(9) Ialah (tempat simpanan) kitab catitan yang jelas nyata, (yang menghimpunkan amalan orang-orang yang berdosa).

Al-Balad (19) Dan (sebaliknya) orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Kami, merekalah golongan pihak kiri.
(20) Mereka ditimpakan (azab seksa) Neraka yang ditutup rapat (supaya kuat bakarannya).
Ar-Rahman (35) Kamu (wahai golongan yang kufur ingkar dari kalangan jin dan manusia) akan ditimpakan dengan api yang menjulang-julang dan leburan tembaga cair (yang membakar); dengan yang demikian, kamu tidak akan dapat mempertahankan diri (dari azab seksa itu);



4.Makanan dan minuman/air


Surah Nombor rujukan ayat dan terjemahannya
Sad (57) Ini sejenis azab seksa, maka hendaklah mereka merasainya, air panas yang menggelegak dan air danur yang mengalir (untuk minuman mereka);
(58) Dan azab seksa yang lain, yang serupa buruknya dan dahsyatnya adalah berbagai jenis lagi.

Ad-Dukhan (43) (Ingatlah), sesungguhnya pokok Zaqqum;
(44) (Buahnya) menjadi makanan bagi orang yang berdosa (dalam Neraka).
(45) (Makanan ini pula panas) seperti tembaga cair, mendidih dalam perut;
(46) Seperti mendidihnya air yang meluap-luap panasnya.
(47) (Lalu diperintahkan kepada malaikat penjaga Neraka): Renggutlah orang yang berdosa itu dan seretlah dia ke tengah-tengah Neraka.
(48) Kemudian curahkanlah di atas kepalanya (azab seksa) dari air panas yang menggelegak.
49) (Serta dikatakan kepadanya secara mengejek): Rasalah azab seksa, sebenarnya engkau adalah orang yang berpengaruh dan terhormat (dalam kalangan masyarakatmu)
(50) (Kemudian dikatakan kepada ahli Neraka umumnya): Sesungguhnya inilah dia (azab seksa) yang kamu dahulu ragu-ragu terhadapnya!

Ar-Rahman (44) Mereka (terus diseksa) berulang-ulang di antara api Neraka dengan air yang menggelegak yang cukup masak panasnya!
An-Naba (24) Mereka tidak dapat merasai udara yang sejuk di dalamnya dan tidak pula sebarang minuman;
(25) Kecuali air panas yang menggelegak dan air danur yang mengalir,
(26) Sebagai balasan yang sesuai (dengan amal mereka yang buruk).
(27) Kerana sesungguhnya mereka dahulu tidak menaruh ingatan terhadap hari hitungan amal,
(28) Dan mereka telah mendustakan dengan sesungguh-sungguhnya akan ayat-ayat keterangan Kami;
(29) Dan tiap-tiap sesuatu dari bawaan hidupnya, telah Kami hitung secara bertulis.
(30) (Setelah mereka masuk ke dalam Neraka, dikatakan kepada mereka: Oleh sebab kamu telah mendustakan ayat-ayat Kami) maka rasalah kamu (azab yang disediakan), kerana Kami tidak akan melakukan selain dari menambah berbagai azab kepada kamu.

As-Saaffat (63) Sesungguhnya Kami jadikan pokok zaqqum itu satu ujian bagi orang-orang yang zalim (di dunia dan azab seksa bagi mereka di akhirat).
(64) Sebenarnya ia sebatang pohon yang tumbuh di dasar Neraka yang marak menjulang;
(65) Buahnya seolah-olah kepala Syaitan-syaitan;
(66) Maka sudah tentu mereka akan makan dari buahnya (sekalipun pahit dan busuk), sehingga mereka memenuhi perut darinya.
(67) Kemudian, sesungguhnya mereka akan beroleh lagi (selain itu) satu minuman campuran dari air panas yang menggelegak.
(68) Setelah (mereka dibawa minum) maka tempat kembali mereka tetaplah ke dalam Neraka yang menjulang-julang.



5.Rayuan ahli neraka tidak akan dipedulikan kerana mereka telah diberi tempoh dan akal fikiran semasa di dunia.

Surah Nombor rujukan ayat dan terjemahannya
Al-Mukminun (65) (Lalu dikatakan kepada mereka): Janganlah kamu menjerit-jerit meminta tolong pada hari ini, sesungguhnya kamu tidak akan beroleh sebarang pertolongan dari Kami.
(66) (Kerana) sesungguhnya ayat-ayatKu telah berkali-kali dibacakan kepada kamu, dalam pada itu kamu berpaling undur ke belakang;
(67) Dengan keadaan sombong angkuh mendustakannya, serta mencacinya dalam perbualan kamu pada malam hari.
(104) Api Neraka itu membakar muka mereka dan tinggallah mereka di situ dengan muka yang hodoh cacat.
(108) (Allah) berfirman: Diamlah kamu dengan kehinaan di dalam Neraka dan janganlah kamu berkata-kata (memohon sesuatupun) kepadaKu!

Al-Furqan
(13) Dan apabila mereka dihumbankan ke tempat yang sempit di dalam Neraka itu, dengan keadaan mereka dibelenggu, menjeritlah mereka di sana meminta sejenis kebinasaan (yang melepaskan dari azab itu).
(14) (Lalu dikatakan kepada mereka): Janganlah kamu menjerit-jerit meminta pada hari ini sejenis kebinasaan sahaja, tetapi mintalah kebinasaan sebanyak-banyaknya (kerana azab yang menunggu kamu di sini banyak jenisnya).


6. Anggota badan sebagai saksi kejahatan diri seseorang

Surah Nombor rujukan ayat dan terjemahannya
Al-Fussilat (20) Sehingga apabila mereka sampai ke Neraka, (maka) pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan mereka menjadi saksi terhadap mereka, mengenai apa yang mereka telah kerjakan.
(21) Dan (setelah berlaku yang demikian), berkatalah mereka kepada kulit-kulit badan mereka: Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami? Kulit-kulit badan mereka menjawab: Allah yang berkuasa menjadikan tiap-tiap sesuatu pandai berkata-kata - telah menjadikan kami dapat berkata-kata dan Dialah yang menciptakan kamu pada mulanya dan kepadaNyalah kamu dikembalikan (untuk menerima balasan).
(22) Dan semasa kamu berselindung (ketika melakukan dosa di dunia dahulu) bukanlah kerana kamu bimbangkan pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan kamu menjadi saksi terhadap perbuatan-perbuatan kamu yang berdosa itu, akan tetapi kerana kamu menyangka bahawa Allah tidak mengetahui kebanyakan dosa yang kamu lakukan (secara bersembunyi itu).
(23) Dan sangkaan kamu yang demikian, yang kamu sangka terhadap Tuhan kamu, itulah yang telah membinasakan kamu; (dengan sangkaan kamu yang salah itu) maka menjadilah kamu dari orang-orang yang rugi!


7. Neraka dikawal oleh malaikat yang diciptakan segagah-gagahnya untuk menyiksa penghuninya.

Surah Nombor rujukan ayat dan terjemahannya
Al-Mudathir (27) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan Neraka Saqar itu?
(28) Ia membakar mangsanya dengan tidak meninggalkan sisa dan tidak membiarkannya (binasa terus)
(29) Ia terus-menerus membakar kulit manusia!
(30) Pengawal dan penjaganya adalah sembilan belas (malaikat).
(31) Dan (ketahuilah bahawa hikmat) Kami tidak menjadikan pengawal-pengawal Neraka itu melainkan (dari kalangan) malaikat, (kerana merekalah sekuat-kuat dan sebenar-benar makhluk yang menjalankan perintah Kami) dan (hikmat) Kami tidak menerangkan bilangan mereka melainkan dengan satu bilangan yang menyebabkan kesesatan dan kesengsaraan orang-orang kafir itu, supaya orang-orang yang diberi Kitab (Yahudi dan Nasrani) boleh percaya dengan yakin (akan kebenaran Al-Quran) dan supaya orang-orang yang beriman bertambah imannya dan juga supaya orang-orang yang diberi Kitab dan orang-orang yang beriman itu tidak ragu-ragu (tentang kebenaran keterangan itu) dan (sebaliknya) supaya orang-orang (munafik) yang ada penyakit (ragu-ragu) dalam hatinya dan orang-orang kafir berkata: Apakah yang di maksudkan oleh Allah dengan menyebutkan bilangan ganjil ini? Demikianlah Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan memberi hidayat petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan tiada yang mengetahui tentera Tuhanmu melainkan Dialah sahaja. Dan (ingatlah, segala yang diterangkan berkenaan dengan) Neraka itu tidak lain hanyalah menjadi peringatan bagi manusia.
(35) Sesungguhnya Neraka Saqar itu adalah salah satu (malapetaka) yang amat besar,
(36) Yang menjadi amaran bagi umat manusia
Al-Ankabut
(55) Pada hari azab itu menyelubungi mereka dari sebelah atas mereka dan dari bawah kaki mereka dan (malaikat yang melakukannya) akan berkata kepada mereka: Rasalah kamu (balasan) apa yang kamu telah kerjakan.